Ketua Penguat Kuasa negeri, Saifulbahri Abdul Kadir berkata, produk tiruan itu dikesan melalui aduan orang awam selepas melihat ada aktiviti yang mencurigakan di sebuah rumah di situ sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan bersama wakil syarikat Nestle di Taman Mulia, Mantin itu terdapat beberapa bekas berisi Milo tiruan yang belum dibungkus dalam rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan itu kita dapati terdapat sebanyak 225 bungkusan yang berisi Milo tiruan disimpan di dalam sebuah bilik.
“Kita percaya bungkusan berjenama Milo tiruan itu sedia untuk dipasarkan di sekitar negeri ini dan kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita di Mantin, dekat sini semalam.


Turut dirampas ialah 1,100 kotak kosong, 50,000 plastik pembungkus kosong, mesin pencetak, mesen pelekat, mesin timbang, pencetak nombor serta 29 unit blok nombor siri pencetak dan 10 unit besi nombor siri pencetak.
“Milo ini disahkan tiruan berdasarkan cara proses yang dilakukan adalah menyalahi proses sebenar seperti mana mengikut langkah yang ketat dan selamat di kilang Nestle,” jelasnya.
Sehubungan itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu menggunakan suatu perihal dagangan palsu, selain membekalkan dan menawarkan barangan palsu kepada pengguna.
Dalam serbuan itu, enam orang warga Myanmar dan Indonesia, berusia dalam lingkungan 20-an turut ditahan untuk pemeriksaan, dipercayai pekerja di rumah itu.